PENGLIBATAN YAYASAN CEMERLANG DALAM INDUSTRI DAN KOMUNITI (DENGAN KERJASAMA TV3 (BERSAMAMU) DAN RUMAH BAIT AL AMIN, PARIT, PERAK.

Bagi menyahut wawasan Yayasan Cemerlang untuk mencungkil dan menggilap potensi para pelajar daripada latarbelakang yang kurang berkemampuan, pihak pengurusan Yayasan Cemerlang dengan kerjasama pihak penerbitan program Bersamamu TV3 telah melawat ke Bait Al-Amin yang terletak di pekan Parit, Perak darul Ridzuan. Bait Al Amin merupakan sebuah pertubuhan kebajikan rumah anak-anak yatim dan warga miskin.

Cik Mazlin Nordin, Penerbit Eksekutif rancangan Bersamamu telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Cemerlang, Professor Madya Dr. Hafriza Burhanudeen bahawa terdapat seorang pelajar cemerlang yang menghadapi kesukaran untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Pihak Yayasan Cemerlang telah berangkat ke Parit pada hari Khamis, 22 November untuk meninjau kawasan dan pada hari Isnin, 26 November 2012 untuk menawarkan Biasiswa Tun Rahah kepada Muhammad Jafri bin Abas (Jafri), seorang anak yatim yang telah lama kehilangan bapanya. Menurut En. Rozelan bin Zamzuri, Pengerusi pentadbiran Bait Al Amin yang lebih selesa dipanggil ‘Ayah’ oleh penghuni Bait Al Amin, keputusan peperiksaan Jafri telah mengejutkan ramai pihak termasuk guru-guru sekolah dimana Jafri belajar dan juga dirinya sendiri. Ini kerana, Jafri telah berjaya memperoleh 4A dalam keputusan peperiksaan SPM, meskipun beliau tidak mengikuti pembelajaran di sekolah menengah selama 3 tahun kerana desakan hidup. Tanpa Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR), Jafri telah membuktikan bahawa beliau boleh berjaya dalam peperiksaan SPM, seiring dengan pelajar lain yang menikmati suasana alam persekolahan yang sempurna. Namun, kerana  kesempitan hidup dan kekangan kewangan yang melanda, beliau terpaksa menangguhkan hasrat untuk ke universiti  dan bekerja sebagai buruh kasar dan juga nelayan bagi menyara keluarga.

Yayasan Cemerlang amat berbesar hati menganugerahkan Biasiswa Tun Rahah kepada Jafri untuk menyambung pendidikan di Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dalam bidang Perbankan & Kewangan Islam. Pada 18 Disember 2012, Jafri telah membuat lawatan ke UNIRAZAK sambil ditemani oleh En. Rozelan. Walaupun berat hati untuk berhijrah ke Kuala Lumpur kerana memikirkan datuknya yang telah uzur dan terpaksa menyara kakaknya yang masih belajar, beliau bertekad untuk meneruskan pelajaran demi membela nasib keluarga tercinta.

           

View My Stats