BENGKEL PENULISAN AKADEMIK BERSAMA DR. LEE KING SIONG UNTUK PELAJAR PERINGKAT SARJANA

Pada 10 dan 11 Disember 2012, Yayasan Cemerlang telah menganjurkan satu bengkel penulisan akademik yang berlangsung di Dewan Senat, Universiti Tun Abdul Razak. Bengkel tersebut bermula pada pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang dan dihadiri oleh 16 orang pelajar yang merupakan para pemegang Biasiswa Tun Rahah. Para pelajar tersebut  sedang mengikuti pengajian peringkat  Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan di Universiti Tun Abdul Razak.

 Fasilitator yang diundang adalah Dr. Lee King Siong, seorang ahli akademik yang berpengalaman mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Beliau telah mengajar Bahasa Inggeris kepada pelajar kolej dan universiti selama lebih daripada 30 tahun. Beliau turut mengadakan bengkel untuk pelanggan korporat, khusus dalam bidang komunikasi di tempat kerja, tatabahasa dan komunikasi perniagaan. Selain itu, beliau yang merupakan seorang pakar dalam bidang kajian literasi, penyelidikan bacaan dan penilaian isu, juga berpengalaman dalam membentangkan kertas kerja  di persidangan antarabangsa.

Menurut Dr. Lee King Siong, bengkel tersebut diadakan bagi mencapai 3 matlamat utama. Matlamat tersebut ialah:

  • Membiasakan pelajar dengan ciri-ciri umum gaya penulisan akademik
  • Menyuntik kesedaran tentang perkara-perkara berkaitan kebolehbacaan
  • Memberi kesedaran mengenai isu-isu etika dalam penulisan akademik

Para peserta yang menyertai bengkel tersebut memberi maklumbalas yang positif terhadap bengkel yang dijalankan selama 2 hari itu. Pelbagai teknik dalam penulisan akademik dapat mereka pelajari dan mereka juga dapat mengetahui akan garis panduan menggunakan sumber internet dan juga cara mengelakkan plagiarisme dalam penulisan.

                              

View My Stats