36 TERIMA BIASISWA YAYASAN CEMERLANG

11 November 2012

Kuala Lumpur: Seramai 36 mahasiswa pengajian Ijazah Sarjana dan peringkat Sarjana terpilih menerima pembiayaan dari Yayasan Cemerlang melalui Dana Biasiswa Tun Rahah.

Semua pelajar berkenaan adalah mereka yang terpilih daripada 1,250 permohonan yang diterima di seluruh negara.

Pengerusi Yayasan Cemerlang, Tan Sri Abdul Halim Ali, berkata semua pemohon dipilih berdasarkan kriteria tertentu terutama mereka yang terdiri dari latar belakang keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
 “Kami melihat bakat serta ciri kepimpinan dipamerkan pelajar dan juga memberi peluang kepada mereka yang dari kursus pengajian kritikal.

“Melalui bantuan yang ada, pelajar ini dapat meneruskan cita-cita tanpa perlu menghadapi masalah kewangan dengan pemberian elaun sara diri serta pembayaran yuran,” katanya pada majlis penyampaian biasiswa berkenaan di Universiti Tun Abdul Razak, di sini, semalam.

Turut hadir menyaksikan penyampaian biasiswa itu, pengasasnya, ibu kepada Perdana Menteri, Tun Rahah Mohamad Noah.

Kumpul dana RM2j
Seramai 15 pelajar Sarjana dan 19 Ijazah Sarjana menerima biasiswa itu semalam masing-masing dari Universiti Tun Abdul Razak sendiri juga empat institusi pengajian awam lain.

Abdul Halim berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengumpulkan dana hampir RM2 juta hasil sumbangan pihak tertentu yang sentiasa memberi sokongan.

Penerima biasiswa peringkat sarjana, Nor Rashid Mohamad, 28, berkata, biasiswa yang diterima memberi peluang kepada dirinya untuk mencapai cita-cita melanjutkan pelajaran sebelum umur 30 tahun.

"Selepas mengetahui layak menerima biasiswa ini, saya tekad untuk meninggalkan dunia pekerjaan untuk fokus pada pelajaran," kata penuntut di Universiti Tun Abdul Razak itu.

Penuntut Ijazah Sarjana, Asmida Mohd Jamil, 19, pula berkata, bantuan itu dapat meringankan beban keluarga selepas bapanya tidak lagi berkerja dan bergantung kepada pendapatan ibunya saja.

Pemohon yang berminat boleh membuat permohonan dan mendapatkan maklumat lanjut di laman web www.yayasancemerlang.org.my.

Sumber : Berita Harian

View My Stats